Atlet muda berusia 24 tahun kelahiran Negeri Sembilan Yeap Wai Kin impikan pingat emas hatrik dalam Sukan SEA selepas berjaya merangkul 2 pingat emas dalam acara Jianshu lelaki dan Qiangshu lelaki. Bagi beliau mendapatkan hatrik pingat emas dalam sukan yang diceburi merupakan satu perkara yang membanggakan dirinya kerana beraksi dilaman sendiri.
Beliau cuba mengintai peluang untuk mendapatkan pingat emas ketiga dengan turun membuat persembahan dalam acara Changquan, petang esok sekaligus mengekalkan rekod bersih dalam semua acara yang disertainya pada temasya sukan kali ini.
“Sudah pasti kali ini akan menjadi temasya terbaik saya seandainya saya dapat meraih satu lagi pingat emas untuk disumbangkan kepada kontinjen negara. Peluang untuk meraih emas ketiga itu memang ada.
“Apapun saya tidak mahu terlalu berfikir mengenainya kerana tidak mahu meletakkan tekanan pada diri saya. Lebih penting adalah saya bersedia sepenuhnya dan memberikan persembahan yang terbaik ketika berada di dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara Qiangshu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Yeap Wai Kin meraih pingat emas menerusi catatan 9.68 mata untuk mengatasi catatan rakan seperguruannya, Wong Weng Son yang mengutip 9.65 mata untuk pingat perak sementara gangsa menjadi milik atlet Indonesia, Muhammad Daffa Golden Boy dengan catatan 9.63 mata.
Dengan kejayaan merangkul dua pingat emas setakat ini, Wai Kin dianggap sebagai atlet wushu yang paling menyerlah selepas dua hari acara wushu berlangsung.
Mengulas lanjut mengenai kemenangan dua kali mengatasi rakan seperguruannya itu untuk pingat emas, Wai Kin mengakui dia tidak pernah mengganggap Weng Son sebagai ‘musuhnya’.
“Saya tidak pernah menganggap Weng Son kalah kepada saya kerana kami adalah rakan baik dan sama-sama berlatih untuk meningkatkan kualiti persembahan kami.
“Kami juga sering memberi galakan kepada diri masing-masing.
“Weng Son juga beraksi dengan baik dan persembahannya juga berkelas dunia. Bagi saya, ia tiada perbezaan kerana yang mustahak adalah pingat emas dan pingat perak dimenangi oleh atlet Malaysia,” katanya yang terpaksa menahan kesakitan kerana mengalami kecederaan bahu kanan.
[sumber]