Tiap-tiap tahun menjelang kemerdekaan negara, Kamdi Kamil, 68, tidak pernah lokek untuk membelanjakan wang bagi menghiasi rumahnya dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri. Tahun ini, RM 2000 telah pun dikeluarkan bagi menghiasi perkarangan rumahnya serta balkoni dengan pelbagai hiasan menarik yang mampu menggamit orang ramai singgah sebentar di rumahnya.
Selain itu, beliau turut membina sebuah perpustakaan yang menempatkan koleksi buku-buku sejarah miliknya untuk dibaca oleh pengunjung. Beliau turut berkongsi bahawa sudah menjadi tradisi baginya untuk menghiasi rumahnya dengan Jalur Gemilang sejak berpindah ke Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada tahun 1982. Beliau memulakan tradisi tersebut bagi menyuntik semangat patriotik selain mahu menjadi contoh kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, “Suatu ketika dahulu, setiap rumah akan memasang Jalur Gemilang apabila menjelangnya bulan Ogos dan bertanding sesama sendiri bagi merebut gelaran ‘rumah berhias terbaik’ bagi menunjukkan semangat patriotik”.
“Kini tiba masanya untuk kita menghidupkan kembali semangat tersebut terutamanya ketika kita ingin menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 60”
Beliau jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya ketika berkongsi pengalaman bagaimana pengunjung menegur dan melaungkan “Medeka! Merdeka!” setiap kali memandu atau berjalan melepasi rumahnya.
Bagi mereka yang berkesempatan terutamanya orang ramai di sekitar Johor Bahru bolehlah meluangkan masa bagi mengunjungi rumah beliau untuk melihat sendiri tarikan yang ditawarkan "lelaki bendera" ini.
[sumber]