Veteran Thailand, Pornchai Kaokaew dalam satu temubual menyatakan rasa terkejut melihat prestasi skuad sepak takraw Malaysia yang masih tiada perubahan dan masih ditahap yang sama, lapor Harian Metro.
Pornchai berkata demikian selepas membantu negaranya mempertahankan emas acara regu berpasukan lelaki di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.
Thailand mengesahkan kemenangan pingat emas kali ke-16 selepas menundukkan Malaysia 3-0, kemenangan ketiga daripada empat perlawanan.
Beliau menyatakan cabaran Malaysia hanya melalui regu pertama diketuai Mohd Syahir Rosdi.
“Hanya regu pertama Malaysia agak sukar untuk kami kalahkan, ia bukan bermakna regu kedua dan ketiga mereka tidak bagus tetapi regu kami ternyata lebih kuat.
“Tiada banyak peningkatan ditunjukkan Malaysia sebaliknya mereka masih di tahap sama... sama seperti penampilan sulung saya di Sukan SEA 2003,” kata perejam berusia 36 tahun itu.
Pendapatnya disuarakan selepas melihat Malaysia sukar menandingi kehebatan Thailand bermula dengan kekalahan regu pertama Farhan Adam, Mohd Hanafiah Dolah dan Mohd Syahir 21-17, 21-15.
Sisa harapan untuk melihat kebangkitan skuad negara lenyap apabila regu kedua diketuai Mohd Safarudin Abu Bakar tewas mudah 21-10, 21-6 sebelum Thailand mengesahkan kemenangan 21-9, 21-8 menerusi regu ketiga mereka selepas itu. - Siakapkeli.my
[sumber]