Jika dilihat dari susuk tubuhnya, pasti ramai tidak menyangka bahwa ketinggian gadis ini mencecah sehingga 186cm.
Ketinggian yang dimiliki oleh Norashikin Kamalzaman ini menjadi kelebihan dan kekuatan buat dirinya selaku pemain bola yang beraksi berdepan dengan Brunei, Selasa lalu.
Norashikin merupakan penjaring utama dalam pasukan bola jaring negara yang diberi peluang untuk beraksi sepenuh masa sewaktu perlawanan Selasa lalu dan membawa kejayaan kepada pasukannya.
Gadis tinggi lampai yang berusia 23 tahun ini berasal daripada Temerloh, Pahang dan mula melibatkan diri dalam sukan bola jaring sejak tahun 2005 di peringkat sekolah sebelum diberi tawaran untuk menjadi pelajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada tahun 2007 hingga 2011.
Sejak 2008, setelah dipilih untuk mewakili negara, Norashikin menyimpan hasrat untuk menjadi penjaring terbaik. Oleh itu, Norashikin menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya dengan sebaik mungkin dalam menempuhi cabaran sengit dari pihak lawan.
Sewaktu Sukan SEA 2015, Norashikin telah menjadi tumpuan dengan tubuhnya yang tinggi. Malah setiap pemain lawan pasti akan mengalami kesukaran berdepan dengannya berikutan dengan ketinggian yang dimilikinya.
Tiga perlawanan setakat ini, penjaring berbisa ini telah menjaringkan 80 gol secara keseluruhan dan berazam untuk menggandakan lagi jaringan sehingga ke aksi final.
Selain Norashikin, terdapat beberapa pemain lain yang menjadi kekuatan pasukan seperti An Najwa Azizan dan Izyan Syazana Mohd Wazir.
Sumber- Stadium Astro
[sumber]