PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Ikon baharu 1Malaysia Negaraku diperkenalkan hari ini sebagai simbol pengukuhan mesej dan platform khusus bagi memupuk perpaduan negara.
Ikon baharu 1Malaysia yang menggabungkan Jalur Gemilang dan Negaraku itu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Penyerahan itu disaksikan oleh Tan Sri Lim Kok Wing selaku Penyelaras Program Khas kepada Perdana Menteri. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.
KKMM dalam satu kenyataan hari ini, berkata ikon baharu itu akan menjadi satu simbol yang menguatkan mesej dan memberikan platform yang lebih khusus bagi memupuk perpaduan negara.
"Sambil mempamerkan imej sebuah negara yang bersatu padu dan ikonik, ikon baharu ini memberi semangat kepada rakyat Malaysia untuk mengukuhkan kesetiaan dan komitmen mereka terhadap perpaduan dan keharmonian melalui 1Malaysia Negaraku," kata kementerian itu.
Pelancaran rasmi ikon 1Malaysia Negaraku akan diadakan pada 23 Ogos ini, katanya.
KKMM berkata sejak pelancarannya, inisiatif 1Malaysia telah diterima sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dan ikon 1Malaysia telah menjadi simbol paling dikenali di negara ini yang merangkumi prinsip berteraskan keterangkuman, kesatuan dan kebersamaan.
Logo itu boleh dimuat turun di laman sesawang kementerian www.kkmm.gov.my.
— BERNAMA (@bernamadotcom) August 18, 2017
[sumber]