Seorang lelaki berusia 33 tahun maut selepas ditikam oleh seorang lelaki dalam kejadian di restoran makanan segera di Gual Tinggi, Rantau Panjang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang, lelaki yang berasal dari Melaka itu ditikam sebanyak dua kali dan meninggal dunia dilokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, mangsa ditikam di dada dan belakang badan.
Katanya, sebelum kejadian mangsa makan bersama rakan wanita berusia 30-an di tingkat satu restoran berkenaan.
"Ketika sedang makan, seorang lelaki berusia 30-an yang membawa beg galas menghampiri mereka dan sempat bercakap beberapa patah perkataan sebelum mengeluarkan sebilah pisau.
"Suspek terus menikam mangsa di dada dan belakang badan," katanya sebagaimana lapor Harian Metro.
Katanya, mangsa terus berlari turun dan rebah di atas tangga. Manakala, suspek melarikan diri melalui pintu belakang.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di atas tangga oleh pasukan perubatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
"Kita juga mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis.
"Polis kini memburu suspek dengan membuat sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam dan di Lalang Pepuyu, di sini," katanya.
Beliau meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat berhubung kejadian untuk menahan suspek.
Sumber: Harian Metro
[sumber]