Sepang, 18 Ogos - Jaguh renang dari Singapura, Joseph Schooling memohon maaf di atas kenyataan 'mengajar Malaysia satu atau dua perkara' menjelang Sukan Sea 2017 sebaik dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebentar tadi.
Schooling, 22, yang juga pemenang emas Olimpik berkata dia memohon maaf jika kata-katanya itu mengguris hati dan menimbulkan kemarahan rakyat di negara ini.
"Saya minta maaf walaupun saya tidak bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa pun. Apa yang penting, saya mahu melupakan peristiwa itu dan tujuan utama saya datang ke sini untuk menyertai acara renang di KL2017.
"Saya adalah salah seorang kapten, jadi tujuan saya ke sini adalah untuk melakukan yang terbaik untuk pasukan renang Singapura tanpa bimbang dengan sebarang kenyataan negatif atau kemungkinan diejek penyokong Malaysia," katanya sebagaimana lapor BH Online.
Schooling sebelum ini berjaya meraih emas dalam sukan Olimpik Rio tahun lalu dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu.
Sumber: BH Online
[sumber]