Semenjak tularnya isu Wang Tak Dituntut (WTD) di media sosial baru-baru ini, Jabatan Akauntan Negara dan cawangan-cawangannya sesak dan tidak menang tangan kerana diserbu orang ramai yang mahu menyemak status WTD masing-masing.
Alias Ghani adalah antara ribuan pengguna yang berharap akan rezeki terpijak apabila berkunjung ke cawangan Jabatan Akauntan Negara. Namun lain pula yang jadinya, beliau terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan prosedur sebelum dapat bersemuka dengan pegawai yang bertugas di kaunter. Katanya,
"Punyalah payah yang tuntut wang nak dituntut. Hari pertama pergi jam 10 pagi, nombor giliran dah habis. Hari kedua pula beratur lama. Kaunter ada satu saja, tak efisien langsung!"
Menurutnya, beliau terpanggil untuk membuat semakan WTD apabila kisah seorang wanita yang membuat semakan WTD miliknya mendakwa mendapat RM 14 000 menjadi tular di media sosial tidak berapa lama dahulu.
Beliau yang bekerja sebagai pemandu peribadi berharap dapat menggunakan wang tersebut bagi membeli keperluan harian berikutan keadaan ekonomi yang getir ketika ini.
Tanpa bayaran ataupun caj semakan yang dikenakan, ada yang sanggup untuk berkunjung dan beratur seawal pagi hari untuk membuat semakan tersebut.
"Tetapi untuk membuat semakan, kita terpaksa mempunyai semangat waja untuk beratur panjang dan berhadapan dengan prosedur lain," tambah Alias.
Sebelum dapat membuat semakan, orang ramai yang berjaya mendapat angka giliran perlu mengisi nama dan nombor kad pengenalan masing-masing sebelum mendapat nombor giliran untuk membuat semakan secara berperingkat.
Namun tidak semua yang sempat mendapatkan nombor giliran kerana seawal jam sembilan nombor giliran yang disediakan sudah pun habis. Menurut Ibrahim Darman, beliau sudah dua kali mengunjungi Jabatan Akauntan Negara di Shah Alam namun pulang hampa. Katanya,
"Mula-mula pergi jam 10 pagi, angka giliran dah habis. Pergi jam 9 pagi pun dah tak ada. Akhirnya langsung malas nak buat semakan."
Beliau kemudiannya menyarankan agar Jabatan Akauntan Negara perlu memperbagaikan cara semakan dengan mewujudkan sistem semakan di atas talian bagi memudahkan mereka. Dengan kemudahan atas talian tersebut, orang ramai tidak lagi perlu ke Jabatan Akauntan Negara untuk membuat semakkan kecuali untuk urusan pengeluaran sahaja.
"Bukankah senang kalau ada aplikasi yang boleh membuat semakan melalui aplikasi telefon," katanya.
"Hotline juga susah nak masuk. Rasanya macam tak ada orang nak jawab panggilan. Memang tipikal kerajaan."
Kritikan ini mendapat maklum balas daripada Jabatan Akauntan Negara apabila menjelaskan bahawa sistem semakan di atas talian sedang dibangungkan dan dijangka akan mula beroperasi pada tahun depan.
“Kita memahami keperluan portal ini berdasarkan keadaan semasa yang mahukan proses semakan lebih cepat dan mudah tanpa perlu bersusah payah beratur di kaunter," menurut kenyataan itu.
Bagi orang ramai yang teruja dengan isu WTD ini sudah pasti menganggap bahawa mereka hanya boleh menggunakan portal tersebut pada tahun depan sebagai terlalu lama.
Ada juga pengguna yang mengkritik portal Jabatan Akauntan Negara tidak banyak membantu dalam mencari infomarsi berkaitan WTD kerana susunan maklumat yang tidak teratur.
Namun kelegaan bagi orang ramai kerana Jabatan Akauntan Negara tidak meletakkan tarikh luput bagi membuat semakan, jadi orang ramai tidaklah perlu membuat semakan serta merta jika tidak mempunyai keperluan mendesak.
Jadi, bertenanglah. Wang anda tidak kemana !
[sumber]